SEPTEMBER 2022

PRU-15: GPS Sedia Berdepan Pihak Lawan, Persiapan Rapi Diatur


SIBU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mempunyai masalah berdepan Baru Bian jika beliau dicalon semula oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi merebut kerusi Parlimen Lawas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Timbalan Pengerusi GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, GPS sudah lama mengatur persiapan bagi menghadapi PRU-15. 

"Sesiapa sahaja boleh bertanding di kerusi Parlimen Lawas pada PRU-15 ini kerana kita adalah negara demokrasi," katanya ketika ditanya mengenai persiapan GPS untuk berdepan dengan Baru yang diuar-uarkan akan meninggalkan kerusi Parlimen Selangau untuk bertanding di kawasan kelahirannya itu. 

Terdahulu, Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak merasmikan majlis penyerahan cek pampasan tanah yang terlibat dalam projek pembinaan Jalan Pasai – Siong Hilir, Projek Baleh – Mapai Overhead Transmission Line dan Tapak Penjara Baru Sibu di Dewan Kompleks Islam Sibu, hari ini. 

Seramai 318 pemilik tanah yang terlibat dalam tiga projek tersebut menerima pampasan keseluruhan berjumlah RM10,392,892 juta. 

Daripada jumlah itu, sebanyak 382 cek pampasan berjumlah RM3,571,757.75 juta diserahkan kepada 258 pemilik tanah terbabit dalam projek pembinaan Jalan Pasai – Siong Hilir. 

Sebanyak 52 cek pampasan berjumlah RM925,271.17 pula diserahkan kepada 38 pemilik tanah yang terbabit dalam Projek Baleh – Mapai Overhead Transmission Line. 

Manakala, untuk projek Tapak Penjara Baru Sibu pula membabitkan pemberian 28 cek pampasan kepada 22 pemilik tanah yang berjumlah RM5,895.917.05 juta. 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Ir Aidel Lariwoo, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang, ADUN Ngemah, Anyi Jana, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Mohd Naroden Majais dan yang lain.

Sumber dari : Jiwa Bakti